+603 5522 8589
9:00 A.M - 5:00 P.M
Monday - Friday
Closed on Public Holiday

Perasmian Laman Pustaka UiTM Kampus Puncak Alam

Puncak Alam, 29 Jan. 2020 – Sebagai sebuah syarikat yang diamanahkan untuk membina dan menyelenggara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, TRIplc Berhad telah bekerjasama dengan pihak UiTM untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Seiring dengan Dasar Landskap Negara, TRIplc Berhad telah memilih aktiviti keceriaan landskap sebagai aktiviti CSR di UiTM Kampus Puncak Alam, iaitu di hadapan Bangunan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR).

Laman yang dihiasi dengan rumput hiasan yang menghijau dan pelbagai jenis pokok serta batu-batu hiasan tersebut kini dikenali sebagai “Laman Pustaka”.
Dalam ucapan semasa majlis perasmian Laman Pustaka, En. Azlan Shah Tan Sri Rozali, Pengarah Urusan TRIplc Berhad berharap dengan adanya keceriaan landskap, dapat menambah seri dan keindahan serta menghasilkan keseimbangan yang harmoni antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Rektor, UiTM Cawangan Selangor, YBrs. Prof. Ts. Dr. Rugayah Hj. Hashim, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Wan Kamil Wan Mohammad, Timbalan Rektor (Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (iCARE) dan Pn. Faridah Talib, Ketua Timbalan Pustakawan serta beberapa orang pengurusan tertinggi Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) termasuk YBhg. Dato’ Yusof Badawi, Pengarah Eksekutif, Bahagian Operasi, Pn.Faridatulzakiah Mohd Bakhry, Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran dan Pn. Tan Bee Lian, Pengarah Eksekutif, Bahagian Perkhidmatan Korporat.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Prof. Dr. Abu Bakar telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TRIplc Berhad di atas inisiatif melaksanakan program keceriaan landskap ini.

Menurut beliau, langkah ini seiring dengan Dasar Landskap Negara yang bermatlamatkan Malaysia Negara Taman Terindah 2020 ke arah pencapaian persekitaran hidup yang berkualiti dan menyeluruh (total quality living environment) di samping menonjolkan identity landskap Malaysia yang kukuh dan unit.

YBhg. Prof. Dr. Abu Bakar dan En. Azlan Shah bersama beberapa tetamu kehormat turut menanam beberapa jenis pokok di Laman Pustaka sebagai simbolik perasmian.

En. Azlan Shah bersama pengurusan tertinggi PNHB turut dibawa melawat sekitar bangunan tiga tingkat Perpustakaan Tun Abdul Razak dan diberi penerangan oleh Pn. Faridah Talib, Ketua Timbalan Pustakawan.

Majlis berakhir pada jam 12.00 tengahari.