+603 5522 8589
9:00 A.M - 5:00 P.M
Monday - Friday
Closed on Public Holiday

Majlis Penyerahan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam

Puncak Alam, 23 Mac – Satu majlis penyerahan secara rasmi Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM) Puncak Alam daripada TRIplc Berhad kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diadakan pada 23 Mac 2021 yang lalu. TRIplc Berhad diwakili oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail manakala KPT pula telah diwakili oleh YB. Datuk Seri Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi. Ini merupakan tonggak kejayaan baharu Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) melalui anak syarikatnya, TRIplc Berhad.

Projek pembangunan hospital pengajar universiti (HPU) berkapasiti 400 katil, 98 klinik pakar, 17 dewan bedah, 16 kerusi dialisis dengan fasiliti pembelajaran kepada 750 orang dalam satu masa di samping beberapa fasiliti lain dalam tempoh tiga tahun merupakan sesuatu yang amat mencabar, apatah lagi apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 pada hujung tahun 2019 hingga sekarang. Ini adalah satu kejayaan yang amat dibanggakan kerana pembangunan HPUiTM dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam ucapan beliau, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan bahawa HPUiTM bukan hanya menjadi pusat penyebaran ilmu perubatan bahkan akan berfungsi seperti hospital biasa yang bakal memberikan akses kepada masyarakat setempat terhadap perkhidmatan perubatan yang berkualiti.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato’ Mansor Hj. Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Prof Emiritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan YBhg. Prof. Ts Dr. Hajah Roziah Mohd Janur, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UiTM serta barisan pengurusan tertinggi UiTM, Puncak Niaga dan TRIplc Berhad.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail secara simbolik telah menyerahkan replika kunci kepada YB. Menteri Pengajian Tinggi yang kemudiannya menyerahkannya kepada YBhg. Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sebagai simbolik penyerahan rasmi Hospital Pengajar UiTM Puncak Alam kepada pihak UiTM. Bermula tahun ini juga, TRIplc akan melaksanakan perkhidmatan pengurusan aset (Asset Management Services) bagi HPUiTM untuk tempoh 22 tahun sehingga tahun 2043.

YB Menteri turut meluangkan masa melawat sekitar bangunan hospital dan beramah mesra dengan kakitangan hospital. Majlis berakhir pada jam 7.00 petang.